Perbincangan tentang kaedah pengajaran al-Quran tidak lengkap tanpa membicarakan tentang adab-adab mengajar dan mepelajari al-Quran. Adab tersebut sangat penting kerana ia mempunyai kaitan dengan keberkesanan dan keberkatan dalam mempelajari al-Quran. Kegagalan dalam melaksanakan adab-adab mempelajari al-Quran menjadi salah satu daripada punca kepada kegagalan umat Islam dalam menguasai bacaan al-Quran. Sebab itu terdapat ramai ulama’ yang menulis tentang perkara tersebut. Umpamanya al-Imam an-Nawawi rahimahullah (1992) telah menyusun sebuah buku berjudul al-Tibyan Fi Adab Hamalat al-Qur’an (التبيان فى اداب حملة القرءان) dalam membicarakan tentang adab-adab yang perlu diambil berat dalam mengajar dan mempelajari al-Quran dan Abdullah al-Qari bin Salleh (1972). Antara adab-adab yang dijelaskan oleh mereka ialah;
1. Hendaklah memasang niat mengajar dan mempelajari al-Quran semata-mata kerana mencari keredhaan Allah SWT.
2. Hendaklah mengelakkan diri dari mencari pengaruh atau kemasyhuran dalam mengajar atau mempelajari al-Quran.
3. Hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan amalan dan budi pekerti yang mulia sesuai dengan kedudukan al-Quran. Antara amalan yang dianjurkan ialah amalan seperti menggunting misai, memotong kuku, menguruskan janggut, membersihkan diri dari dari kekotoran dan bau yang tidak menyenangkan dan tidak memakai pakaian yang tidak senonoh.
4. Hendaklah guru menyambut baik orang yang hendak mempelajari al-Quran dengannya.
5. Hendaklah guru sentiasa membari nasihat-nasihat yang baik serta memberi dorongan dan motivasi kepada muridnya.
6. Guru dan murid hendaklah sentiasa mengamalkan sifat suka merendah diri. Mereka juga hendaklah saling berlemah-lembut antara satu sama lain.
7. Guru hendaklah juga mendidik murid-muridnya dengan adab-adab yang terpuji. Mereka yang mengamalkan adab-adab yang terpuji akan mempunyai hati yang bersih dan mudah menerima ilmu yang disampaikan oleh guru kepadanya.
8. Guru hendaklah mempunyai sifat berdedikasi dalam pengajarannya. Umpamanya mengosongkan fikirannya dengan perkara-perkara yang boleh mengganggu penumpuan. Di samping itu, guru juga hendaklah mengambil berat terhadap pencapaian muridnya dengan memastikan murid-murid membuat ulangkaji dan sebagainya.
9. Guru hendaklah memberi keutamaan kepada murid yang datang lebih awal kepadanya.
10. Guru tidak harus menolak orang yang ingin belajar dengannya meskipun orang tersebut mempunyai niat yang tidak baik atau belajar bukan kerana mencari keredhaan Allah.
11. Guru hendaklah seboleh-bolehnya mencari tempat yang lapang dan selesa dalam melaksanakan pengajaran.
12. Hendaklah membersihkan diri sebelum membaca al-Quran. Sebelum membaca al-Quran, seseorang itu hendaklah terlebih dahulu berwudu’.
13. Hendaklah membaca dalam keadaan mengadap ke arah kiblat.
14. Hendaklah menjauhkan perbuatan yang tidak senonoh seperti gelak ketawa, bergurau senda serta melihat sesuatu yang melalaikan.
Dikemaskini Oleh Mohd Zainul Arifien Mohd Jaid
No comments:
Post a Comment